KUALA LUMPUR – Hyundai-Sime Darby Motors melancarkan model sedan segmen C baharu di pasaran tempatan iaitu Hyundai Elantra generasi ketujuh yang membawa tanda harga RM158,888 (untuk Semenanjung, tidak termasuk insurans).
Antara pembaharuan paling jelas berbanding model sebelumnya ialah Elantra baharu membawa reka bentuk terkini, menampilkan bahagian luaran berkonsepkan potongan permata dan dibina berasaskan platform kenderaan Hyundai K3 generasi ketiga.
Ia menggunakan enjin petrol G1.6 MPi yang dipadankan dengan Intelligent Variable Transmission yang menghasilkan kuasa 123PS pada 6,300rpm dan tork maksimum 154Nm pada 4,500rpm untuk prestasi mencukupi serta penggunaan bahan api yang cekap.
Selain itu, terdapat empat mod pemanduan untuk dipilih iaitu Smart, Comfort, Eco dan Sport.
Pengarah Urusan Hyundai- Sime Darby Motors, Low Yuan Lung berkata, pengenalan Elantra baharu itu akan mengubah pasaran kenderaan, bukan hanya berdasarkan reka bentuk luarannya yang unik, malah dari segi pakej keseluruhan yang ditawarkan.
“Elantra membawa bentuk geometri kristal yang sofistikated dan permukaan badan yang terbahagi dengan penggunaan corak garisan bijak untuk menghasilkan rekaan berani.
“Ditambah ruang dalaman premium berteknologi tinggi dan kelengkapan ciri keselamatan Hyundai Smartsense, model ini sukar ditandingi dalam kelasnya,” katanya dalam siaran akhbar yang dikeluarkan semalam.
Terdapat empat pilihan warna menarik untuk Elantra baharu iaitu putih, kelabu, biru dan Electric Shadow.
Model tersebut didatangkan bersama waranti selama lima tahun atau had perbatuan 300,000 kilometer (yang mana tiba dahulu) dan boleh dilihat di semua pusat pameran Hyundai seluruh negara.