LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tetap mempertahankan keputusannya menurunkan Thomas Partey dalam kesebelasan utama sewaktu tewas 0-2 kepada Tottenham Hotspur pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu lalu.
Arteta, 38, mengambil risiko menurunkan Partey, 27, yang baru sahaja sembuh daripada kecederaan pangkal paha yang dialami pemain tengah itu ketika menentang Aston Villa pada 8 November lalu.
Keputusan tersebut ‘memakan diri’ apabila bintang Ghana itu mengalami semula kecederaan sama dan terlepas beberapa perlawanan termasuk aksi menentang Burnley di Stadium Emirates pada Isnin ini.
“Kami telah melakukan tiga ujian sebelum perlawanan menentang Spurs untuk menentukan tahap persediaan Partey. Namun, inilah bola sepak kerana anda tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku.
“Saya tidak menyesal menurunkan Partey. Saya terpaksa kerana kami memerlukan khidmatnya walaupun ia tidak berjalan seperti dirancang,” kata Arteta.
Ketiadaan bekas pemain Atletico Madrid itu menyukarkan lagi Arteta yang kini terdesak memburu kemenangan pertama daripada empat perlawanan EPL sejak menang 1-0 ke atas Manchester United awal bulan lalu.
Sebagai rekod, The Gunners kini menghuni tangga ke-15 dengan 13 mata selepas 11 perlawanan setakat ini. – AGENSI