SEREMBAN – Aliran trafik di Negeri Sembilan dijangka meningkat lima hingga 10 peratus pada hujung minggu ini susulan keputusan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula 7 Disember lalu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintenden Ibrahim Mohd. Abdul Kadir bagaimanapun berkata, peningkatan tersebut tidak begitu ketara kerana dua buah daerah masih lagi dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Kami melihat pada pergerakan bermula 7 Disember lalu sehingga hari ini masih tiada kesesakan yang berlaku.
“Bagaimanapun, kami menjangkakan aliran trafik berlaku pertambahan sedikit antara lima hingga 10 peratus selepas kebenaran merentas negeri terutama bagi hujung minggu ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Seremban dan Port Dickson merupakan dua buah daerah di negeri ini yang masih dilaksanakan PKPB.
Sementara itu, menurut Ibrahim, pihaknya melakukan pemantauan trafik di beberapa jalan susulan kebenaran rentas negeri berkenaan.
“Kami ada membuat pemantauan trafik dan sekiranya berlaku kesesakan kami akan mengambil tindakan segera,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan lebih peka terutama ketika musim hujan.
“Pengguna jalan raya perlu lebih berwaspada dan berhati-hati terutama ketika ini musim hujan. Sila memandu secara berhemah dan peka dengan cuaca terkini,” katanya. – K! ONLINE