LEIPZIG – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengkritik prestasi yang dipamerkan oleh barisan pemain selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara susulan kekalahan 2-3 kepada Red Bull Leipzig pada aksi terakhir peringkat Kumpulan H awal pagi semalam.
Pada aksi itu, United yang hanya memerlukan keputusan seri untuk melangkah ke pusingan kalah mati telah ketinggalan 0-3 hasil ketajaman jentera serangan pasukan tuan rumah.
Namun, The Red Devils berusaha melakukan kebangkitan dramatik dengan menjaringkan dua gol pada minit-minit terakhir saingan tetapi keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.
Kata Solskjaer, aksi sambil lewa dan ‘lambat panas’ yang dipamerkan oleh barisan pemain terutamanya pada babak pertama telah menyebabkan pasukan terpaksa menelan kepahitan tersingkir ke kancah Liga Europa selepas ini.
“Saya tidak tahu apakah puncanya kami bermain dengan begitu lemah pada babak pertama kerana barisan pemain dilihat tidak bersemangat sedangkan ini adalah perlawanan hidup mati pasukan pada kempen Liga Juara-Juara musim ini.
“Apa yang pasti, saya percaya kami tidak begitu bagus terutama pada aspek bertahan dengan membuka banyak ruang buat jentera serangan pasukan tuan rumah menjaringkan gol mudah sehingga menyukarkan pasukan untuk bangkit,” katanya.
Sementara itu, kapten The Red Devils, Harry Maguire mengakui barisan pemain hanya boleh menyalahkan diri sendiri selepas mensia-siakan peluang untuk layak ke saingan kalah mati Liga Juara-Juara.
“Kami telah mempamerkan karakter untuk bangkit, tetapi ia masih belum mencukupi dan pasukan terpaksa akur untuk bermain dalam kancah Liga Europa selepas ini,” katanya. – AGENSI