TONGGAK pertahanan berpengalaman, Shukor Adan tidak berhasrat mengejar rekod sebagai pemain paling tua dalam sejarah Liga Malaysia (Liga M) meskipun bakal menginjak usia 42 tahun musim depan.
Rekod pemain paling tua sejak Liga M melalui era profesional kekal menjadi milik penjaga gol pada era 90-an dan awal tahun 2000, V Murugan yang beraksi pada usia 43 tahun.
Bagaimanapun, Shukor menegaskan, rekod tersebut tidak menjadi keutamaan, sebaliknya mahu terus beraksi dalam kancah Liga M selagi ada pasukan berminat dengan khidmatnya sebelum membuat keputusan untuk menggantung but.
“Sebenarnya saya tidak merancang bila usia hendak bersara dan semuanya bergantung kepada tawaran. Saya akan berhenti bermain bola sepak andai tiada lagi pasukan yang mahu khidmat saya.
“Saya juga tidak terfikir mahu membuat rekod sebagai pemain profesional paling berusia dalam sejarah Liga M kerana segalanya bergantung pada tahap fizikal diri sendiri pada musim depan,” katanya.
Mengenai cabaran bersama Kuala Lumpur musim depan, Shukor mengakui, bukan mudah untuk mereka memberikan saingan dalam kancah Liga Super selepas berjaya membantu pasukanny meraih tempat ketiga Liga Premier tahun ini.
“Apa yang paling utama bagi mana-mana pasukan yang mahu bersaing di Liga Super adalah persiapan perlu dilakukan lebih awal dan rapi sebelum saingan bermula.
“Selain itu, kualiti pemain import yang bakal ditandatangani juga memainkan peranan penting kerana mereka mampu membawa perbezaan dalam banyak faktor, “ jelasnya.