PETALING JAYA – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan pelaksanaan solat Jumaat dan solat lima waktu kepada semua masjid, Surau Kebenaran Jumaat dan surau mengikut kapasiti sebenar ruang solat dengan penjarakan 1.5 meter.
Pengarah JAIS, Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran itu melibatkan 130 buah masjid, 21 Surau Kebenaran Jumaat dan 453 surau di keseluruhan Daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Hulu Selangor.
“Bagi program pengimarahan seperti kuliah maghrib, kuliah subuh, kuliah dhuha dan bacaan yassin juga turut dibenarkan dengan syarat penceramah yang dijemput adalah dari zon hijau sahaja.
“Kebenaran kehadiran jemaah Solat Jumaat dan Solat Fardhu lima waktu ini adalah untuk jemaah warganegara sahaja,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, ketetapan baru itu tidak termasuk Mukim Kuala Selangor yang melibatkan sebuah masjid, dua buah Surau Kebenaran Jumaat dan dua surau berikutan perkembangan terkini penularan di mukim tersebut.
“Arahan khusus telah pun dikeluarkan oleh jabatan ini kepada Pejabat Agama Islam Daerah yang terlibat untuk dikuatkuasakan serta merta.
“Besar harapan JAIS agar seluruh umat Islam di Negeri Selangor meningkatkan disiplin, kawalan kendiri, bersabar dan terus mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan oleh JAIS, Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengekang penularan wabak Covid-19,” ujarnya. -K! ONLINE