IPOH – Pusat Koloni Karyawan (PORT) di sini buat julung-julung kalinya akan mengadakan Pra Festival Kesenian Antarabangsa Ipoh (IIAF) 2021 secara dalam talian pada 12 hingga 20 Disember ini sesuai dengan keadaan norma baharu.
IIFF kebiasaanya dianjurkan pada skala besar dengan menarik seramai 10,000 pengunjung yang terdiri dalam kalangan karyawan dan peminat seni tempatan serta serantau.
Pengurus Besar PORT, Nur Hanim Mohamed Khairuddin berkata, penganjuran itu juga
sebagai komitmen untuk terus membawakan program-program pembangunan meskipun dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Menurut beliau, ia juga bertujuan meletakkan Ipoh sebagai salah satu kota yang mempunyai festival tahunan untuk menarik pelancong, peminat seni, pengkaji budaya dan pengumpul dari dalam dan luar negara.
“Bertemakan ‘Budi: Pemanjangan Tradisi’ yang menekankan sikap luhur, rendah diri, bijaksana dan nilai-nilai akhlak yang terpuji dari perkataan Bahasa Melayu sanskrit ‘Bhuddi’.
“Program selama lapan hari ini turut mendapat kerjasama dari Balai Seni Negara, Singapore Art Museum, Japan Foundation Kuala Lumpur, Universiti Malaysia Kelantan dan Universiti Sains Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini. -K! ONLINE