PETALING JAYA – Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM31) yang sepatutnya berlangsung pada April lalu barangkali sudah ditangguhkan penganjurannya dengan alasan pandemik Covid-19 masih belum reda di negara ini.
Di Indonesia, acara sedemikian rupa, Festival Film Indonesia (FFI) 2020 tetap dilangsungkan yang menyaksikan filem arahan sutradara, Joko Anwar berjudul Perempuan Tanah Jahanam diangkat sebagai Filem Terbaik.
Apa yang menarik perhatian ramai adalah kandungan ucapan Joko, 44, yang sangat mendukung kemajuan ekosistem filem Indonesia.
“Kemajuan individu dan kelompok tidak akan mampu membuat filem Indonesia maju. Filem Indonesia hanya akan maju, mendapat tempat di hati para penonton tempatan dan antarabangsa kalau semua pemangku kepentingan bekerjasama secara total.
“Para senior harus mahu terus belajar meningkatkan skil, para produser mampu memilih projek yang akan mendukung sustainability (kelestarian) daripada filem Indonesia.
“Penonton filem Indonesia tonton filem secara sah, jangan tonton yang cetak rompak. Pengulas filem mampu mengkiritik filem sehingga mereka mampu, kalau tidak mencerdaskan boleh mencerahkan,” kata
Joko dalam ucapannya.
Joko turut mengingatkan agar pemerintah sentiasa bijaksana dalam memberi ruang kepada filem Indonesia dan mereka yang terlibat dalam cabang kreatif tersebut tidak hanya menganggapnya sebagai profesi bahkan satu rasa cinta.
“Pemerintah harus mampu membuat kebijaksanaan yang boleh membuat ekosistem perfileman Indonesia semakin baik. Hanya dengan kerja keras, dedikasi yang penuh dan kecintaan terhadap profesi akan membuat filem Indonesia lebih tinggi darjatnya di mata internasional dan hati kita semua.
“Mari bekerjasama untuk meningkatkan sesuatu yang bukan cuma menjadi profesi kita tapi cinta kita, filem Indonesia,” ujarnya lantas mendapat tepukan gemuruh penonton yang hadir.
Selain Filem Terbaik, karya Joko turut membawa pulang lima trofi lain iaitu Pengarah Terbaik, Penata Suara Terbaik, Suntingan Gambar Terbaik, Sinematografi Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Christine Hakim).
Terdahulu, Perempuan Tanah Jahanam mencipta sejarah apabila menerima 17 pencalonan dalam FFI 2020 dan dipilih mewakili Indonesia pada Academy Awards dalam kategori Filem Asing Terbaik.
FFI 2020 atau lebih dikenali sebagai Malam Anugerah Piala Citra FFI 2020 berlangsung pada 5 Disember lalu di Plenary Hall, Jakarta Convention Center, Jakarta, Indonesia dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat tanpa penonton pada saat kes Covid-19 negara yang berpenghuni 267.7 juta orang itu masih belum menunjukkan penurunan. – K! ONLINE