TIDAK tahan diganggu individu yang kerap menghantar komen melampau sejak setahun lalu, pelakon Kim Ok-bin akhirnya membuka mulut.
Menerusi hantaran dalam Instagramnya baru-baru ini, Ok-bin bagaimanapun menjelaskan sebab mengapa dia berdiam diri selama setahun tanpa berbuat apa-apa.
“Ada seorang individu kerap menghantar komen yang bukan-bukan kepada saya sejak setahun lalu.
“Mengapa agensi saya membiarkan sahaja dia berbuat demikian? Jawapannya, kami sedang mengumpul bukti. Kini sudah ada banyak bukti tentang perlakuan itu,” tulis aktres drama Dark Hole itu.
Ok-bin juga memberi amaran keras kepada individu terbabit supaya berhenti melakukan perkara tidak bermoral berkenaan.
“Kepada yang terasa, apa kata kalau awak berhenti sekarang? Selepas ini saya akan jumpa awak di mahkamah. Bukan setakat bertahan selama ini tetapi saya juga menunggu waktu yang tepat,” katanya tegas.
Tindakan berani Ok-bin kemudian mendapat pujian peminat yang menganggap selebriti tidak perlu takut mempertahankan hak sendiri.