fbpx

Malaysia berada di tangga ke-33 GII

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Roslan

KUALA LUMPUR – Kedudukan Malaysia dalam carta Global Innovation Index (GII) kini meningkat ke tangga ke-33 daripada 131 negara berbanding tangga ke-35 tahun lalu, kedudukan terbaik bagi tempoh lima tahun kebelakangan.

Ketua Pengarah MyIPO, Datuk Mohd. Roslan Mahayudin yang membacakan teks ucapan Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Datuk Mohamad Alamin berkata, pencapaian tersebut adalah sesuatu yang patut dibanggakan.

“Selain terbaik dalam tempoh lima tahun, Malaysia juga mampu mengekalkan kedudukan di tempat kedua dalam kalangan 37 negara yang berpendapatan sederhana tinggi.

“Antara kriteria yang menjadi kekuatan kepada Malaysia adalah eksport dalam teknologi tinggi dan barangan kreatif, penghasilan graduan dalam bidang sains dan kejuruteraan, nilai jenama global serta kualiti universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Harta Intelek Negara 2020 (AHIN 2020) secara telesidang yang diadakan di Akademi Harta Intelek, Menara UOA Bangsar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MyIPO, Zulkarnain Muhammad dan Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) MyIPO, Fatimah Rohada Dahlan serta barisan pemenang juga peserta yang disenarai pendek untuk anugerah tersebut secara maya.

Menurut Mohd. Roslan, berdasarkan laporan GII 2020 itu, prestasi inovasi Malaysia memenuhi tahap yang dijangkakan dan menjadi inspirasi untuk menambah baik kedudukan negara pada masa hadapan.

“Saya percaya, rakyat Malaysia adalah rakyat yang kreatif dan berinovasi cuma perlu diberi lebih galakan supaya mempunyai kesedaran untuk melindungi harta intelek mereka.

“Oleh itu, saya menyarankan agar para perekacipta dan pencipta dapat mengambil langkah proaktif untuk melindungi hak harta intelek melalui pendaftaran supaya dilindungi di bawah Perundangan Harta Intelek dan seterusnya dikomersialkan untuk menjana pendapatan,”jelasnya.

Untuk rekod, GII merupakan satu kaedah pengukuran oleh badan antarabangsa yang memberi indeks kepada negara menerusi perkembangan inovasi di negara masing-masing.

Jelas Mohd. Roslan, MyIPO berharap kedudukan tersebut dapat ditambah baik di masa hadapan menerusi pertambahan pendaftaran rekacipta dan pempatenan.

Dalam pada itu, Mohd. Roslan turut mengumumkan Kolej Vokasional Alor Setar, Kedah sebagai pemenang pingat emas AHIN 2020, bagi kategori Perekacipta Harta Intelek (Pelajar Institusi Kemahiran atau Setaraf sekaligus membawa pulang wang tunai berjumlah RM7,000.

Kemenangan tersebut adalah menerusi rekacipta peranti ‘Car Carbon Monoxide Detector V2 (Carmode V2)’ bagi mengesan dan memberi amaran sekiranya berlaku kebocoran gas karbon monoksida dalam kenderaan.

Bagi kategori Perekacipta Muda Harta Intelek (Pelajar Sekolah Menengah) pula, pingat emas dimenangi oleh Sekolah Menengah Tun Tijah, Melaka menerusi ciptaan peranti ‘Touchless Smart Barrier’ yang membantu golongan cacat penglihatan bergerak bebas. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI