PETALING JAYA – Penceramah popular, Ebit Lew menghadiahkan basikal lipat kepada lima individu yang bekerja sebagai penghantar makanan sebentar tadi.
Katanya di laman Facebook, mereka yang terdiri daripada tiga individu berbangsa Cina dan dua India bekerja menghantar makanan dengan berjalan kaki.
Dia memberitahu, antara yang menerima bantuan adalah seorang ibu tunggal berbangsa Cina, Sharen; seorang wanita yang kehilangan kerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan, Camy Yap, 26, dan Ramesh, 25, bapa kepada dua orang anak.
“Hokah Sing, 27, sebelum ini kerja promoter pelancong. Sekarang kerja hantar makanan berjalanan. Seronok tadi try (cuba) basikal baru,” katanya.
Tambahnya, seorang lagi penerima basikal lipat tersebut adalah seorang Muslim berbangsa India, Nurul Fauziah.
“Semoga semua anak muda di luar sana terus kuat. 2020 ni besar ujian untuk kita semua.
“Pasti 2021 kita akan menjadi lebih baik kerana di sebalik musibah ada rahmat darinya,” katanya. – K! ONLINE