Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
KUANTAN – Seramai 115 pesakit Covid-19 dari Kluster Genting akan dikuarantin dengan kawalan ketat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) di sini bermula esok.
Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria berkata, ia merupakan kumpulan pertama dari kluster tersebut yang berisiko rendah dan tidak memerlukan rawatan khusus.
“Seramai 115 pesakit warga asing akan dibawa ke Sukpa untuk kuarantin. Ujian saringan telah dilakukan ke atas 1,186 individu warga asing dan 119 daripada mereka didapati positif (semalam),” katanya sini tadi.
Ujar beliau lagi, Kompleks Sukpa juga hanya melibatkan semua pesakit dari Kluster Genting dan tidak akan membabitkan pesakit Covid-19 yang sedia ada di hospital-hospital lain di negeri ini.
Mohd. Zairasyahli Shah menambah, masyarakat tidak perlu bimbang berhubung langkah pemilihan Kompleks Sukpa sebagai pusat kuarantin kerana ia akan dikawal ketat oleh petugas keselamatan selama 24 jam.
Tambah beliau, ia termasuk langkah memasang dawai kawat sepanjang 354 meter mengelilingi premis tersebut bagi mengelak pesakit-pesakit melarikan diri.
“Tiada tempat sesuai di Bentong. Sukpa telah ditentukan sebagai pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan yang bertujuan menampung kapasiti hospital apabila keadaan memerlukan,” ujarnya. -K! ONLINE