PUTRAJAYA – Bagi memastikan sektor perkayuan terus kekal pada masa hadapan, kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyediakan pinjaman sebanyak RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sebagai subsektor ketiga terbesar selepas sawit dan getah, prestasi eksport kayu-kayan negara mencatatkan nilai sebanyak RM17.8 bilion sehingga Oktober lalu.
Beliau berkata, ia dijangka dapat melepasi RM20 bilion sebagai sumbangan sektor itu kepada pendapatan eksport negara untuk tahun ini.
“Untuk memastikan perkayuan terus kekal pada masa hadapan, KPPK menyediakan pinjaman sebanyak RM500 juta di bawah Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH) bagi RMKe-12.
“Usaha membangunkan ladang hutan di bawah PPLH ini merupakan usaha kerajaan bagi menjamin bekalan bahan mentah kepada industri perkayuan pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini. -K! ONLINE