fbpx

Kanak-Kanak lelaki maut dibaham buaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas dibaham buaya dalam kejadian di sungai Kampung Sabah Baru hari ini. - Foto IHSAN IPD LAHAD DATU

LAHAD DATU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun maut selepas dibaham buaya dalam kejadian di sungai Kampung Sabah Baru hari ini.

Dalam kejadian pukul 1.30 petang itu, mangsa dikatakan mandi di sungai berkenaan bersama seorang lagi rakan sebayanya sebelum diserang buaya secara tiba-tiba.

Ekoran kejadian itu, rakan mangsa yang terkejut menyaksikan kejadian terbabit terus bergegas berlari pulang ke rumah untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada bapa mangsa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, polis yang menerima maklumat berkaitan kemudiannya menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk meminta bantuan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

“Mangsa berjaya ditemui terapung kira-kira dua meter dari lokasi kejadian selepas beberapa jam pencarian dilaksanakan.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira 20 meter dari lokasi rumah mangsa.

“Pemeriksaan awal menunjukkan mangsa mengalami kecederaan serius di pinggang, perut dan dada. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Dalam pada itu, Rohan Shah berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat.

Menurut beliau, siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, Rohan Shah menasihatkan orang awam khususnya yang tinggal di pesisir sungai dan pantai agar sentiasa berhati-hati dengan kemungkinan serangan reptilia berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI