fbpx

Jutaan rakyat keluar mengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang petugas pilihan raya berpakaian seperti adiwira Spiderman di sebuah pusat mengundi di Surabaya di Indonesia semalam. - AFP

JAKARTA – Indonesia semalam mengadakan Pilihanraya Ketua Daerah (Pilkada) dengan lebih 100 juta pengundi dilaporkan keluar menunaikan tanggungjawab mereka walaupun proses pemi­lihan itu dikhuatiri memburukkan lagi krisis Covid-19 di negara berkenaan.

Pilkada kali ini menyaksikan beratus-ratus calon bertanding untuk merebut 270 jawatan termasuk gabenor wilayah, ketua daerah dan datuk bandar, termasuk anak sulung Presiden Joko Widodo (Jokowi).

Anak lelaki Jokowi, Gibran Rakabuming Raka, 33, bertan­ding sebagai Datuk Bandar Solo di Jawa Tengah iaitu tempat ba­panya, seorang bekas penjual perabot, memulakan karier dalam politik.

Seorang petugas pilihan raya (kiri) memakai kostum adiwira Captain America mengawasi proses membuang undi di sebuah pusat mengundi di Surabaya semalam. – AFP

CNN Indonesia melaporkan Gibran bersama Teguh Prakosa menguasai kiraan undi cepat dengan memperoleh catatan 87.26 peratus daripada jumlah 90 peratus undi.

Pencabar mereka, pasa­ngan calon, Bagyo Wahyono dan FX Supardjo memperoleh 12.74 pe­ratus undi. Bagaimanapun, keputusan rasmi cuma akan diketahui beberapa minggu lagi.

Anak menantu Jokowi, Bobby Nasution pula bertanding untuk merebut kerusi datuk bandar di Sumatera Utara.

Beliau bersama calon timbalan datuk bandar Medan, Aulia Rachman mendahului saingan dengan catatan 54.61 peratus undi kiraan cepat, mendahului pencabar Akhyar Nasution-Salman Alfarisi (45.39 peratus) daripada jumlah 90.67 peratus undi sehingga petang semalam.

Penyertaan keluarga Jokowi itu mula menimbulkan persoalan sama ada pemimpin Indonesia itu cuba membentuk satu dinasti politik di Indonesia.

Suasana mengundi dari Jakarta hingga ke Pulau Bali menyaksikan petugas pilihan raya memakai peralatan perlindu­ngan diri, memastikan pengundi patuh arahan penjarakan fizikal, memeriksa suhu pengundi sebelum pusat-pusat undi ditutup pada pukul 1 tengah hari (waktu tempatan) semalam.

“Semua pusat mengundi di­nyah kuman. Kami menyediakan ruang selebar mungkin untuk membolehkan penjarakan fizikal dipatuhi.
Setiap pengundi diwajibkan memakai pelitup muka. Jika tidak, kamu tidak dibenarkan masuk ke pusat untuk membuang undi,” kata Ketua Jawatan Kuasa Pusat Mengundi Daerah Ciputat di Jakarta, Suprianto.

Di bandar kedua terbesar, Surabaya, sebilangan petugas di pusat-pusat mengundi memakai kostum adiwira sebagai usaha menarik lebih ramai orang ke­luar untuk membuang undi.

Seramai 2.7 juta petugas pilihan raya terlibat dalam proses pemilihan kali ini dengan sebilangannya membawa kotak undi ke hospital untuk membantu pesakit-pesakit Covid-19 menunaikan tanggungjawab.

Beberapa pengundi beratur untuk pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki pusat mengundi di Sukabumi semalam. – AFP

Terdahulu, negara dengan hampir 270 juta penduduk itu menunda proses mengundi yang sepatutnya berlangsung pada 23 September lalu semasa Indonesia berdepan masalah mengawal peningkatan kadar jangkitan koronavirus.

“Saya bimbang lebih ramai orang akan terkena jangkitan dan mati selepas pilihan raya,” kata Siti Zuhro, seorang peng­analisis politik di Institut Sains Indonesia.

Sekurang-kurangnya lima calon bertanding dilaporkan meninggal dunia dan lebih 1,000 kakitangan badan pilihan raya dijangkiti koronavirus sebelum hari mengundi.

Setakat ini, lebih 580,000 penduduk Indonesia disahkan dijangkiti Covid-19 dengan 18,000 orang disahkan meninggal dunia.

Jumlah jangkitan boleh me­lonjak lebih satu juta orang selepas hari mengundi, menurut Hermawan Saputra daripada Pertubuhan Pakar Kesihatan Awam Indonesia.

“Apa yang paling dibimbangkan ialah ia bukan hanya melibatkan orang muda membuang undi mereka tetapi warga emas, wanita mengandung dan mereka yang berpenyakit. Mereka ini golongan berisko tinggi.

“Pengumuman khidmat awam dan protokol kesihatan tidak mencukupi. (Aspek) kesihatan kini dibelakangkan oleh tuntutan politik dan ini amat membimbangan. Ia tidak berbaloi,” katanya.

Semasa Indonesia dilanda pandemik Covid-19, pengundi tidak dapat berinteraksi sepenuhnya dengan calon-calon bertanding atau memahami perjuangan mereka, memberi satu tamparan ke atas sistem demokrasi di negara itu sebelum tamatnya kepimpinan diktator Suharto kira-kira dua dekad lalu, kata satu kumpulan penganalisis. – AFP/Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI