GEORGE TOWN – Kerajaan diminta agar tidak terburu-buru untuk melaksanakan proses pemberian
vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer sehingga vaksin tersebut diuji secara klinikal berkesan untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kadir berkata, pihaknya juga telah menghantar surat mengenai kebimbangan dan saranan CAP berkaitan vaksin berkenaan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi semalam.
“CAP bimbang mengenai kesan vaksin Covid-19 itu terhadap rakyat negara ini terutama golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan mereka yang mempunyai penyakit.
“Ini kerana data-data mengenai penghasilan vaksin berkenaan dibuat oleh syarikat farmaseutikal sendiri dan sebagai sebuah syarikat sudah pasti keuntungan adalah matlamat mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 27 November lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan telah menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin dengan Pfizer bagi membolehkan negara mendapatkan 12.8 juta dos bekalan. -K! ONLINE