fbpx

K2

Hidangan Melayu, Jawa rempah ratus Mak Siti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI HAJIR menunjukkan lauk-pauk yang dihidangkan d Restoran Rempah Kari Mak Siti, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

MENGHIDANGKAN masakan kampung resipi warisan orang Melayu dan Jawa menjadikan Restoran Rempah Kari Mak Siti cukup popular bagi pencinta hidangan tradisi itu.

Restoran tersebut yang terletak di Jalan Jujur 2, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur menyediakan hidangan sarapan pagi, tengah hari dan ala carte.

Menurut pemilik Restoran Rempah Ratus Mak Siti, Siti Hajir Salleh, 67, terdapat lebih lebih 20 menu yang dihidangkan di situ.

“Antara hidangan popular di sini adalah pecal, kari kawah, kari kepala ikan merah, soto, rendang daging, masak lemak telur itik, kari ayam, asam pedas pari, keli sambal berlado, sambal goreng tempe dan kurma ayam.

“Bagi hidangan panas yang bermula pada pukul 2.30 petang pula, menawarkan menu seperti mi bandung, kueteau kungfu, nasi goreng paprik, bihun hailam dan maggi bandung,” katanya yang berasal dari Sungai Tiang Darat, Bagan Datok, Perak.

 

ANTARA menu menyelerakan yang mendapat sambutan hebat daripada pelanggan Restoran Rempah Kari Mak Siti.

 

Tambahnya, harga yang ditawarkan sangat berpatutan iaitu serendah RM5 hingga RM25.

Istimewanya, hidangan di restoran tersebut dimasak menggunakan rempah ratus jenama Mak siti yang juga diusahakan oleh Siti Hajir dan suami sejak tahun 1981.

“Ia bermula apabila suami saya yang bertugas sebagai tentera mengambil upah bekerja di kilang rempah ratus pada masa lapang.

“Selepas itu, suami saya mengambil keputusan berhenti kerja sebagai tentera untuk mengusahakan perniagaan rempah ratus secara kecil-kecilan,” cerita ibu kepada dua orang cahaya mata yang berdarah Jawa itu.

 

SAMBAL goreng tempe antara menu signatur yang popular di Restoran Rempah Kari Mak Siti.

 

Pada tahun 1981, pasangan tersebut berjaya membuka kilang rempah ratus mereka sendiri yang terletak di lokasi restoran itu sekarang.

Antara produk rempah ratus yang dihasilkan di bawah jenama tersebut adalah kari daging, sup, kurma, soto, serbuk kunyit dan serbuk cili.

Selepas beroperasi sekitar 19 tahun, kilang tersebut kemudian dipindahkan ke Pagoh, Johor dan diusahakan oleh anak sulung Siti Hajir.

“Setelah kilang tersebut dipindahkan, premis itu menjadi kosong lantas arwah ibu memberi cadangan untuk membuka kedai makan.

“Oleh itu, saya cuba memasak hidangan kampung seperti yang dicadangkan oleh arwah ibu dan tidak sangka mendapat sambutan sangat baik,” tuturnya yang suka memasak dan merupakan tukang masak utama restoran itu sehingga kini.

Mengulas lanjut mengenai restoran tersebut, dia memberitahu, premis tersebut boleh menampung 100 orang pada satu-satu masa dan beroperasi bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam.

Restoran Rempah Ratus Mak Siti turut menawarkan perkhidmatan penghantaran di sekitar Lembah Klang dengan caj serendah RM5 mengikut lokasi pelanggan.

Di samping itu, restoran tersebut juga menerima tempahan untuk majlis pertemuan semula dengan rakan lama, jamuan makan keluarga dan jamuan makan selepas majlis akad nikah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI