fbpx

Harimau baham 20 lembu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. azimi menunjukkan salah seekor lembu yang mati akibat diserang harimau belang di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya dekat Dungun semalam.

DUNGUN – Seramai 309 pene­roka terutamanya 30 pengusaha haiwan ternakan di Felda Kerteh 4, Ketengah Jaya dekat sini berada dalam ketakutan dan kebimbangan ekoran diancam harimau belang sejak awal tahun ini.

Setakat ini, 20 ekor lembu peliharaan penduduk telah dibaham pak belang berkenaan termasuk tiga ekor mati dalam kejadian terbaharu pada Isnin lalu.

Lebih membimbangkan, kejadian serangan terhadap lembu yang diternak di ladang kelapa sawit itu semakin menjadi-jadi sejak bulan November lalu dengan purata tiga ekor se­minggu dibaham harimau.

Seorang penternak, Rosham Rosdi, 55, berkata, sebahagian lembu ternakan mereka hilang tanpa dikesan, manakala ada juga yang ditemui mati bergelimpa­ngan dengan kesan gigitan tanpa diusik harimau berkenaan.

Dia berkata, tiga ekor lembu peliharaan rakannya telah mati dibaham harimau pada Isnin lalu walaupun mereka sudah berka­wal mengawasi kawasan tersebut sehingga pukul 3 pagi.

“Kawasan ternakan lembu ini sangat luas. Kita jaga kawasan ini, harimau pergi kawasan lain.

“Saya sendiri telah kehila­ngan tiga ekor lembu sejak bulan lalu melibatkan kerugian lebih RM6,000. Sekarang haiwan ternakan saya tinggal 10 ekor sahaja,” katanya ketika ditemui ­Kosmo! di sini semalam.

Penempatan Felda Kerteh 4 dihuni 309 penduduk dan terletak kira-kira lapan kilometer dari ladang kelapa sawit seluas 1,284 hektar tersebut.

Seorang lagi penternak, Zul­kefli Embong, 52, yang telah kehilangan empat ekor lembu berkata, sebahagian pekerja ladang kelapa sawit pernah terse­rempak dengan kelibat harimau belang itu pada waktu siang.

Ujarnya, dalam kejadian terbaharu, seorang pekerja ladang ternampak seekor harimau dewasa sedang berkeliaran, namun sempat bersembunyi dan melarikan diri.

“Setiap hari kami balik lewat petang semata-mata memastikan lembu ternakan kami yang dilepaskan bebas pulang ke kandang.

“Kami bimbang dengan kese­lamatan diri dan kami bagai bergadai nyawa setiap hari. Kawasan ladang ini tiada talian telefon, kalau jadi apa-apa memang payah,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Felda Kerteh 4, Mohd. Azimi Hassan berkata, pihaknya percaya lembu ternakan peneroka diserang oleh lebih daripada seekor harimau.

Katanya, beberapa kesan tapak kaki harimau dewasa dan kecil telah dijumpai di kawasan ladang tersebut.

“Saya bimbang dengan ke­selamatan peneroka dan penternak. Perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara masih gagal menangkap harimau ber­kenaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI