PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang terjatuh dari tingkat empat sebuah kuarters kerajaan di Presint 11 di sini baru-baru ini berharap dapat pulih sepenuhnya sebelum sesi persekolahan dibuka semula tahun hadapan.
Nur Alya Maisarah Kamarufaiza yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan Presint 11 (1) di sini itu tidak sabar untuk berjalan semula.
Kunjungan Kosmo! baru-baru ini di rumah keluarganya mendapati, anak kedua daripada empat beradik itu ceria melayan kerenah abang serta dua adiknya selain sentiasa melemparkan senyuman setiap kali jiran datang melawatnya.
Bapanya, Kamarufaiza Mohd. Zaini, 40, turut berharap anaknya itu tidak mengalami komplikasi lain dan mendoakan kesihatannya terus pulih serta boleh kembali aktif seperti sedia kala.
“Doktor yang buat imbasan mendapati tiada tulang yang patah dan saya berhasrat untuk mendapatkan rawatan urutan tradisional di kampung.
“Buat masa ini, Nur Alya hanya makan ubat tahan sakit dan perlu kembali menjalani beberapa pemeriksaan susulan dalam masa terdekat,” katanya.
Mendiami kuarters kerajaan sejak 2011, Kamarufaiza dan isterinya, Salina Khalil bergilir-gilir menjaga Nur Alya memandangkan dia perlu menggunakan kerusi roda buat masa ini.
“Ada kalanya dia perlu dipapah untuk bergerak ke satu-satu tempat kerana berasa sakit di bahagian dada jika pergerakan agak lasak,” katanya.
Menceritakan kembali kejadian itu, Kamarufaiza berkata, pada asalnya dia tidak menyangka kejadian tersebut berlaku kerana anaknya tersebut jarang bermain di luar rumah.
“Saya agak terkejut apabila diberitahu dia terjatuh, firasat saya dia jatuh apabila bermain di kawasan bawah, tetapi sebaliknya dimaklumkan jatuh dari tingkat empat.
“Perasaan saya tidak menentu dan hanya berserah kepada Allah. Ketika sampai ke tempat kejadian, Nur Alya masih bercakap dan mengenali saya, malah selepas memeriksa keadaannya tiada kecederaan serius dihadapinya,” kata beliau.
Kamarufaiza yang juga anggota polis sukarelawan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Putrajaya berkata, Nur Alya pada awalnya menghadapi kesukaran untuk melelapkan mata sepanjang dua hari berada di hospital mungkin kerana berasa trauma.
“Bagaimanapun, selepas pulang ke rumah, dia tidur nyenyak dan menunjukkan perkembangan positif,” katanya.
Dalam kejadian pada petang Jumaat minggu lalu, Nur Alya jatuh dari tingkat empat, Blok B, Presint 11, ketika sedang bermain bersama beberapa rakan di koridor kediaman.
Mangsa dikatakan terjatuh ketika cuba mengambil botol yang tercampak ke seberang tembok koridor dengan memanjat kerusi plastik sebelum terjatuh di atas bumbung dan terhempas ke tanah.