KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meramalkan trafik penumpang udara akan kembali pulih tahun hadapan dengan jumlah ketibaan penumpang berjumlah 51.7 juta hingga 53.3 juta orang.
Mavcom dalam laporan industri Waypoint, yang memberi gambaran prestasi industri penerbangan negara pada suku ketiga 2020 dan unjuran tahun 2021 menjelaskan, pihaknya telah menyemak semula ramalan trafik penumpang tahun ini kepada pengurangan antara 72.8 hingga 75.7 peratus tahun ke tahun.
Katanya, trafik penumpang Malaysia menurun ke tahap terendah dalam sejarah dengan kemerosotan 97 peratus pada suku kedua 2020 kepada 802,525 penumpang berbanding 26.7 juta untuk tempoh sama tahun lalu.
“Penurunan ini disebabkan oleh faktor bagi tempoh pemulihan kapasiti tempat duduk yang lebih panjang oleh syarikat-syarikat penerbangan kerana pengurangan penawaran kapasiti tempat duduk.
“Bagaimanapun, trafik penumpang pulih sedikit pada suku ketiga yang mana terdapat penurunan lebih kecil sebanyak 83.3 peratus tahun ke tahun disebabkan kelonggaran sekatan terhadap perjalanan domestik.
“Tahun depan, trafik penumpang akan pulih dengan pertumbuhan antara 94.2 peratus hingga 100.3 peratus tahun ke tahun.
Syarikat penerbangan pula dijangka dapat meningkatkan kapasiti tempat duduk secara beransur-ansur kerana sekatan perjalanan antarabangsa mungkin ditamatkan pada tahun 2021,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, syarikat penerbangan menggunakan pelbagai langkah untuk kelangsungan perniagaan termasuk pemberhentian kakitangan dan penstrukturan hutang.
“Memandangkan situasi yang tidak menentu, beberapa kemungkinan berpotensi berlaku melibatkan lima syarikat penerbangan tempatan dan kesan perhubungan udara telah dikenal pasti serta dianalisis dan diperincikan dalam laporan terbaharu Waypoint itu.
“Walaupun prospek sektor ini sangat bergantung kepada kadar pemulihan daripada Covid-19 secara tempatan, serantau dan global.
“Suruhanjaya berpendapat bahawa industri penerbangan akan berada pada landasan perjalanan yang panjang untuk kembali pulih,” katanya.