IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak Ke-14.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Kepada Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, Kolonel (B) Datuk Abd. Rahim Mohamad Nor berkata, perkenan baginda itu berpandukan Perkara XVI, Fasal 2 (a), Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan.
“Pada timbangan baginda, Datuk Saarani boleh mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada ADUN untuk dilantik sebagai Menteri Besar Perak.
“Baginda menetapkan 10 Disember (esok) pada pukul 11 pagi untuk istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar,” katanya dalam kenyataan yang dibacakan Ahli Dewan Negara Perak, Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini di luar Istana Kinta di sini hari ini.
Terdahulu, Saarani, 59, tiba di Istana Kinta bagi menghadap Sultan Nazrin dan dilihat beredar pada pukul 5.58 petang sambil tersenyum dan melambai tangan ke arah pemberita.
Saarani dijangka mengadakan sidang akhbar di Dewan Jubli Perak di Kuala Kangsar selepas selesai istiadat mengangkat sumpah jawatan tersebut esok.-K! ONLINE