PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) melaporkan sebarang tawaran rasuah daripada mana-mana pihak bagi memastikan isu rasuah dapat ditangani secara menyeluruh dan berkesan.
Menerusi kenyataan sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2020 peringkat kebangsaan, SPRM memaklumkan kerjasama PBT di seluruh negara diperlukan untuk bersama-sama memerangi rasuah.
Menurutnya, ia bertepatan dengan tema sambutan HARA 2020 kali ini iaitu ‘PBT Perangi Pemberi Rasuah’.
“HARA 2020 peringkat kebangsaan adalah program anjuran bersama SPRM dan Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) dengan pembabitan 153 PBT di seluruh negara.
“Sambutan HARA 2020 adalah selari pengisytiharan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2003 yang menetapkan 9 Disember setiap tahun sebagai sambutan HARA,” katanya.
Pada majlis sambutan itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki turut menyampaikan amanat beliau tentang kepentingan membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa ketika menghadiri Majlis Perasmian Sambutan HARA 2020 di Kompleks Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.
Selain itu, SPRM berkata, selain program walkabout yang dijalankan secara serentak di seluruh negara membabitkan PBT dan masyarakat umum, beberapa aktiviti lain dianjurkan.
“Antara aktiviti berkenaan termasuk sesi dialog antara SPRM dan PBT serta sesi menandatangani Janji Warga PBT bagi membuktikan komitmen setiap warga PBT dalam memerangi jenayah rasuah.
“Di peringkat antarabangsa pula, tema yang ditetapkan oleh PBB ialah ‘United Against Corruption’ bagaimanapun, mengambil kira situasi pandemik Covid-19, tema khusus yang diperkenalkan tahun ini ialah ‘Recover with Integrity’,” katanya. – K! ONLINE