PETALING JAYA – Barisan Nasional (BN), Bersatu dan Pas sepakat mencadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar baharu Perak untuk diperkenankan Sultan Perak.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung ketiga-tiga parti, satu perbincangan telah diadakan antara Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai pembentukan kerajaan negeri Perak.
“Perbincangan hari ini juga telah mencapai kata sepakat mengenai pelantikan-pelantikan lain dalam kerajaan negeri.
“Ketiga-tiga parti turut bersepakat memperkukuhkan kerjasama antara parti dalam kerajaan Perikatan Nasional di Perak dan juga peringkat nasional demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat,” katanya hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, Ahmad Zahid turut menyampaikan pernyataan maaf bagi ADUN-ADUN BN di negeri itu atas kekhilafan yang berlaku. – K! ONLINE