MANILA – Seorang remaja perempuan berumur 17 tahun berkemungkinan buta akibat satu penyakit misteri selepas dia memicit satu tompok kecil seakan-akan jerawat di hidungnya kira-kira setahun lalu.
Sejak insiden itu, wajah Mary Ann Regacho didakwa berubah dan membengkak sehingga dia sukar untuk dikenali, lapor The Sun UK kelmarin.
Menurut laporan, remaja dari wilayah Nueva Ecija itu pada awalnya menyangka jerawat berkenaan cuma satu ketumbuhan biasa disebabkan perubahan hormon selepas dia melahirkan bayi lelaki pada usia 16 tahun.
Bagaimanapun, selepas memicit jerawat itu, hidungnya menjadi sakit selama beberapa hari sebelum bengkak dan mula merebak ke muka.
“Saya rasa muka menggelembung seperti belon,” kata Ann Regacho.
Ketumbuhan misteri pada wajah ibu muda itu sudah menutupi hampir keseluruhan mukanya dan dilaporkan mula memberi kesan kepada kedua-dua matanya.
Ann Regacho cuba merawat masalah muka bengkak dengan menggunakan ubat-ubatan herba di rumahnya, namun gagal.
“Saya ingatkan jerawat biasa tetapi ia amat menyakitkan sehingga tidak dapat tidur malam. Saya sudah cuba pelbagai cara untuk merawatnya tetapi tiada yang berhasil. Saya bimbang wajah saya tidak akan kembali normal,” katanya.
Suaminya, Albert Sales yang bekerja sambilan di ladang jiran tanpa sumber pendapatan tetap menyatakan mereka sebenarnya tidak mampu mendapatkan rawatan hospital.
Pasangan muda itu pernah memeriksa masalah wajah bengkak Ann Regacho di sebuah hospital di daerah berkenaan tetapi petugas perubatan gagal mengenal pasti penyakit tersebut.
Sales merayu sumbangan orang ramai untuk membolehkan dia membawa isteri mendapatkan rawatan di hospital besar yang lebih sesuai. – Agensi