fbpx

Prolintas catat rekod MBOR edar pelekat paling banyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nor Azmi (depan) menampal pelekat kenderaan di kereta peronda Prolintas sambil diperhatikan Malik Parvez (kanan sekali) di Plaza Tol Alam Impian, Seksyen 35, Shah Alam, hari ini. - Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi syarikat pertama mengedar pelekat kenderaan paling banyak di negara ini.

Rekod itu diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pengedaran sebanyak 100,000 pelekat di empat lebuh raya di sekitar Lembah Klang hari ini.

Ketua Pegawai Operasi (Komersil & Kewangan) Prolintas, Malik Parvez Ahmad berkata, pengedaran itu dilakukan bersempena sambutan Hari Integriti 2020 syarikat konsesi tersebut yang bertemakan Putuskan Rantaian Rasuah.

“Pelekat kenderaan itu diedarkan di sembilan plaza tol di Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE), Lebuh Raya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuh Raya Kajang SILK (SILK).

“Semua pelekat khas itu berjaya diedarkan kepada hampir 100,000 pengguna jalan raya dalam tempoh sehari sekali gus mencatat rekod dalam MBOR,” katanya kepada Kosmo! di Plaza Tol Alam Impian, Seksyen 35 di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Nor Azmi Karim.

Malik menegaskan pengiktirafan rasmi itu akan disempurnakan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam tempoh terdekat.

Jelas beliau, inisiatif pengedaran pelekat itu membuktikan komitmen tinggi pihaknya dalam memerangi gejala rasuah dengan memupuk kesedaran terutama di kalangan pengguna jalan raya.

Sementara itu, Nor Azmi memuji inisiatif murni syarikat tersebut yang dianggap bertepatan dengan sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) tahun ini.

“Lebuh raya sememangnya menjadi antara jalan utama pengguna dan pengedaran pelekat itu sekali gus turut membantu SPRM dalam kempen memerangi rasuah.

“Usaha membanteras bukan hanya terletak kepada kita semata-mata namun memerlukan kerjasama semua pihak termasuk syarikat korporat,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI