BAGAN SERAI – Seorang pesara guru ditemui maut dalam keadaan terlentang di dapur rumahnya di Jalan Selama, Alor Pongsu di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pada pukul 3 petang itu, mangsa, Ghazali Abdul Rahaman, 66, ditemui anak dan isteri mangsa selepas curiga dengan keadaan mangsa yang gagal dihubungi pada sebelah pagi.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, hasil temubual dengan isteri mangsa, Rohanin Saarani, 59, dia memberitahu telah datang ke rumah dan mengetuk pintu pada sebelah pagi tetapi tiada jawapan dan dia pulang ke rumahnya di Taman Setia Jaya, Parit Buntar.
“Pada sebelah petang, Rohanin telah datang bersama anak lelaki mereka semula dan mengetuk pintu namun masih tiada jawapan.
“Mereka tidak berpuas hati dan merasakan terdapat sesuatu perkara telah terjadi terhadap mangsa, lalu mereka memanjat bahagian tingkap rumah dan mendapati mangsa terbaring di dapur bersebelahan kerusi,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mazuki, kedua beranak itu kemudian mengambil keputusan untuk memecahkan pintu hadapan rumah dan mendapati mangsa dipercayai telah meninggal dunia.
“Menurut Rohanin, mangsa pernah mengadu sakit dada namun dia tidak pernah mempunyai sebarang rekod perubatan sebelum ini.
“Mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar dan hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian adalah disebabkan kegagalan jantung berfungsi,” katanya.
Katanya, tiada sebarang unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian serta badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE