PORT DICKSON – Orang ramai yang ingin menyaksikan fenomena hujan meteor Gemini boleh melihatnya pada lokasi yang kurang pencahayaan pada Ahad ini.
Ketua Unit Baitul Hilal, Muzamir Mazlan berkata, fenomena yang berlaku sekali setahun ini boleh dilihat bermula pukul 10 malam hingga 6 pagi.
“Pihak kami juga akan mengadakan cerapan secara bersendirian di Balai Cerap Baitul Hilal Port Dickson.
“Bagaimanapun, bagi orang ramai yang ingin melihat mereka boleh menyaksikannya terutama di kawasan sawah padi dan kawasan kampung yang kurang pencahayaan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Muzamir memberitahu, fenomena hujan meteor Gemini itu diramal muncul maksimum pada pukul 8.30 malam 13 Disember sehingga awal pagi 14 Disember waktu tempatan.
“Hujan meteor ini akan mencapai maksimum dengan kadar 120 meteor sejam atau dua meteor seminit pada Ahad, 13 Disember, pukul 8.30 malam sehingga menjelang awal pagi 14 Disember ini,” katanya.
Menurut Muzamir lagi, keunikan hujan meteor ini ialah orang ramai boleh menyaksikan jaluran hujan cahaya yang terang melintas dengan jumlah yang banyak.
“Ada kemungkinan satu minit sebanyak tiga meteor kita boleh nampak tanpa menggunakan teleskop. Hanya dengan melihat menggunakan mata kasar dan boleh mengambil gambar guna kamera DSLR.
“Fenomena hujan meteor Gemini ini boleh dijadikan sebagai aktiviti riadah keluarga terutama pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini,” katanya. – K! ONLINE