PETALING JAYA – Kerajaan telah memberi kebenaran kepada pelanggan untuk menikmati hidangan di restoran mengikut saiz atau kapasiti meja makan bermula hari ini.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran ini membolehkan mereka yang berkeluarga dapat makan bersama di restoran tanpa perlu mengasingkan meja.
“Kerajaan prihatin dengan rungutan rakyat yang terpaksa makan berasingan meja walaupun datang menaiki kenderaan yang sama. Kerajaan berikan kelonggaran asalkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal antara satu sama lain.
“Kelonggaran dibuat selaras dengan kelonggaran kapasiti penumpang kenderaan yang dibenarkan sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar harian Covid-19 di sini hari ini. – K! ONLINE.