PETALING JAYA – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan telah menerima laporan polis daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) bagi menafikan tuduhan berlakunya salah laku melibatkan anggota agensi tersebut.
Abdul Hamid berkata, laporan tersebut diterima daripada pihak SPRM namun siasatan lanjut masih dilakukan pihaknya.
“Pihak polis telah menerima dua laporan setakat ini iaitu satu daripada pengadu manakala satu lagi daripada pihak SPRM bagi menafikan dakwaan tersebut.
“Bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kes ini masih dalam siasatan,” ujar beliau ringkas ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, satu fakta kes berhubung laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun tular di platform media sosial mendakwa telah diperas ugut oleh beberapa orang pegawai SPRM berkaitan kes Macau Scam.
SPRM dalam satu kenyataan berkata pihaknya memandang serius tohmahan individu terbabit yang dianggap mencemar imej agensi berkenaan.
“Individu berkenaan membuat laporan polis berhubung perkara itu selepas dua bulan dia dibebaskan daripada tahanan reman SPRM malah salinan laporan itu juga sudah ditularkan oleh pihak tertentu sekali gus mencemarkan nama baik SPRM.
“Justeru itu, seorang pegawai SPRM membuat laporan polis hari ini bagi menafikan tohmahan individu berkenaan,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya, SPRM menggesa pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung laporan palsu itu dan tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya dakwaan itu benar dilakukan oleh pegawai SPRM.
“Namun sekiranya laporan itu palsu, maka individu berkenaan perlu dibawa ke muka pengadilan,” tegasnya.-K! ONLINE