fbpx

Pasangan suami isteri jual baju tiruan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Cawangan KPDNHEP Kuala Kubu Bharu, Mohd. Noor Md. Rejab (tengah) melihat sebahagian daripada 2,000 helai baju tiruan yang dirampas dalam serbuan ke atas dua buah premis di Kampung Assam Kuala Kubu Bahru, Selangor pagi tadi.

PETALING JAYA – Sepasukan anggota dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Kubu Bharu, Selangor menahan sepasang suami isteri yang sedang leka membungkus pakaian disyaki tiruan di rumah mereka pagi tadi.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pasangan tersebut ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi tadi dalam serbuan Ops Tiru yang dibuat ke atas dua buah premis kediaman di Kampung Assam Kuala Kubu Bahru, Selangor susulan risikan yang dilakukan sejak dua minggu lalu.

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati premis kediaman berkenaan dijadikan sebagai stor dan pusat edaran pakaian tiruan yang dijual secara online menerusi laman sosial seperti Facebook dan Instagram secara borong.

“Turut ditemui di premis yang dimiliki oleh pasangan berusia 40 dan 51 tahun tersebut adalah sejumlah 2,000 helai baju jenama terkenal seperti Louis Vuition, Channel, Adidas dan Puma yang kesemuanya dianggarkan mencecah RM20,000,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhamad Zikril, siasatan yang dilakukan mendapati pakaian yang dirampas diperolehi dari Vietnam dengan kos sekitar RM4 hingga RM30 sehelai dan dijual semula dengan harga RM20 ke ratusan ringgit sehelai.

“Pasangan ini didapati telah menjalankan perniagaan sejak lapan bulan lalu dan mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan yang terdiri daripada individu yang ingin mulakan perniagaan sendiri semasa musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kes disiasat dibawah seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” katanya.

Muhamad Zikril menegaskan, orang ramai diberi amaran dan peringatan agar tidak menggunakan cap dagang bagi tujuan perdagangan dengan sewenang-wenangnya tanpa kebenaran dari pihak pemilik dan penalti berat akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang ingkar.

“Pengguna di Selangor atau orang awam yang ingin menyalurkan aduan berkaitan barangan tiruan ini kepada Kementerian boleh berbuat demikian melalui portal [email protected]; pusat panggilan 1800 886 800; atau menerusi aplikasi Whatsapp di 019 279 4317,” ujar beliau.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI