JOHOR BAHRU – Ketua Kampung Melayu Majidee di sini masih belum menerima aduan penduduk berhubung dakwaan rumah diganggu dengan ketukan misteri sejak minggu lalu.
Ketua Kampung Melayu Majidee, Md. Saleh Tukiran berkata, bagaimana pun pihaknya meminta penduduk sekitar agar berwaspada dengan kejadian ini dan tidak menolak kemungkinan ada yang mengambil kesempatan untuk melakukan jenayah.
“Tiada satu pun penduduk laporkan, bercakap atau berjumpa dengan saya berkenaan rumah mereka diketuk pada waktu malam benda itu jadi tanda kepada saya, penghulu, Pejabat Daerah.
“Saya juga ada menelefon Balai Polis Majidee, mereka maklumkan juga tidak ada menerima sebarang laporan berhubung gangguan ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan seorang penduduk di Jalan Berkat, Kampung Melayu Majidee mendakwa pintu rumahnya diketuk sebanyak lima kali dalam kejadian pada pukul 1 hingga 3.30 pagi, Khamis lalu.
Dalam pada itu, Md. Saleh berkata, pihak ahli jawatankuasa (AJK) kampung meningkatkan rondaan bagi memastikan keselamatan penduduk terjaga.
“Kalau perbuatan ini dilakukan budak-budak nakal saya sangkal sebab sekarang ini budak merayau dah kurang sangat lepas pukul 10 malam, ada orang kata sebab orang nak hantar santau dan sebagainya saya tak dapat komen sebab saya tak arif bab itu.
“Saya nasihatkan agar penduduk jangan panik dengan berita viral ini, jika ada alami gangguan kita minta penduduk segera melaporkan terus kepada saya, AJK kampung atau hubungi balai polis,” katanya. – K! ONLINE