LONDON – Petinju terbaik sepanjang zaman, Floyd Mayweather mengumumkan kembali daripada persaraannya ke arena tinju apabila menyatakan persetujuan untuk menentang petinju sensasi YouTube, Logan Paul.
Pertarungan itu yang dijangka berlangsung pada 20 Februari tahun depan telah menarik beberapa gelanggang yang berminat untuk menganjurkannya dan bakal menjana jutaan ringgit.
“Ia akan menjadi malam yang hebat bagi para peminat tinju di seluruh dunia kerana kami membawakan sesuatu yang istimewa kepada mereka melalui sukan dan hiburan.
“Saya tidak pernah menjauhkan diri atau mengelak daripada melakukan sesuatu perkara yang berbeza sepanjang karier saya.
“Menentang Logan Paul merupakan peluang untuk saya melakukannya sekali lagi. Saya pasti ia merupakan perlawanan sengit untuk disaksikan,” kata Mayweather.
Dalam pada itu, Paul turut teruja dengan kesediaan Mayweather dan berbangga dapat berkongsi gelanggang menentang petinju terbaik sepanjang zaman.
“Saya selalu mencari cabaran utama dan impian saya adalah dapat berdepan petinju terhebat dunia. Tarikh 20 Februari menjadi penting bagi saya dan tidak sabar untuk melakukannya,” kata Paul.
Antara gelanggang yang bersedia untuk menganjurkan perlawanan tersebut adalah Staples Center di Stadium Los Angeles yang menyaksikan pertarungan antara Mike Tyson dan Roy Jones Jr. – AGENSI