fbpx

Masjid, surau di Labuan kekal status zon merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masjid Jamek An-Nur, Labuan. - Foto LAMAN WEB JAKIM

PUTRAJAYA – Biarpun tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan di Labuan namun seluruh masjid dan surau di kawasan berkenaan kekal diletakkan di bawah status zon merah.

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dalam kenyataan berkata, 16 buah masjid, 16 buah surau Jumaat dan 28 buah surau di Labuan masih diletakkan bawah kategori zon merah sama seperti minggu sebelumnya.

“Status zon merah bagi masjid dan surau di Labuan itu adalah bagi tempoh bermula hari ini hingga 15 Disember ini,” katanya.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan Labuan dan Putrajaya kembali kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas hampir dua bulan menjalani tempoh PKPB.

Bagaimanapun, tempoh pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur dilanjutkan bermula 7 Disember hingga 20 Disember ini.

Menurut Jawi lagi, jumlah masjid dan surau Jumaat yang diletakkan di bawah status zon merah di Kuala Lumpur terus bertambah bagi tempoh 9 hingga 15 Disember ini.

“Sebanyak 21 buah masjid di Kuala Lumpur diletakkan bawah status zon merah kali ini berbanding 12 buah pada minggu sebelumnya.

“Manakala, jumlah surau dan surau Jumaat berstatus zon merah pula meningkat kepada 58 buah berbanding 38 buah pada minggu sebelumnya,” katanya.

Katanya, 26 buah masjid di Kuala Lumpur diletakkan bawah zon kuning dan 25 buah berstatus zon jingga.

Menurutnya lagi, sebanyak 54 surau Jumaat dan surau Jumaat dengan kebenaran khas di Kuala Lumpur diletakkan dalam status kuning manakala 79 buah dalam kategori zon jingga.

Selain itu, katanya, tiada status zon merah ditetapkan bagi masjid dan surau di Putrajaya di mana sebuah masjid dikategorikan zon hijau manakala 19 buah surau Jumaat di bawah kategori hijau dan 21 buah yang lain kategori kuning.

“Bagi masjid-masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pula, Masjid Negara, Kuala Lumpur dikategorikan zon kuning manakala, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya pula zon hijau,” katanya.

Status zon masjid dan surau itu penting sebagai panduan kepada jemaah untuk aktiviti solat fardu, solat Jumaat dan majlis akad nikah.

Senarai penuh status masjid dan surau berdasarkan zon hijau, jingga, kuning dan merah itu boleh disemak menerusi laman rasmi Facebook Jawi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI