LONDON – Tindakan Marc Marquez yang turun kembali beraksi di Grand Prix (GP) Andalusia pada Julai lalu selepas tiga hari menjalani pembedahan patah tulang lengan mengejut peminat MotoGP seluruh dunia dan menggangap ia satu kerja gila.
Bagaimanapun, pelumba Repsol Honda tersebut akhirnya mengakui tindakannya itu satu kesilapan hingga menyebabkannya menderita apabila terpaksa menjalani pembedahan ketiga minggu lalu hingga tersisih sehingga enam bulan lagi.
Marquez mengalami kecederaan di GP Sepanyol dan tindakannya turun pada sesi kelayakan perlumbaan GP Andalusia mengundang padah apabila plat titanium yang tertanam pada tulang lengan kanannya tercabut dan terpaksa menjalani pembedahan kedua.
Bagaimanapun, selepas empat bulan berehat Marquez belum pulih sepenuhnya dan terpaksa menjalani pembedahan ketiga, sekali gus menyebabkan dia terpaksa berehat panjang dan mungkin terlepas 10 perlumbaan musim depan.
“Tahun ini telah mengajar saya banyak perkara. Yang pertama, tindakan saya kembali berlumba ketika masih dihimpit kecederaan merupakan satu tindakan terburu-buru.
“Percubaan kembali ke Jerez pada GP Andalusia adalah satu kesilapan. Selepas pembedahan pertama, persoalan yang bermain di fikiran apabila saya mampu kembali berlumba semula.
“Sebagai doktor mereka seharusnya melarang jika terdapat risiko yang perlu saya hadapi. Saya pergi ke Jerez dengan fikiran yang tenang kerana mereka menjelaskan, plat yang dipasang pada lengan saya sangat baik.
“Sekiranya mereka memberitahu bahawa plat titanium yang dipasang pada lengan saya boleh tercabut, sudah pasti saya tidak akan menunggang jentera dengan kelajuan 300 kilometer sejam (km/j),” katanya. – AGENSI