SEBERANG PERAI – Seorang suri rumah warga emas di Kepala Batas di sini kerugian RM30,000 selepas dipercayai ditipu ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, mangsa yang berusia 66 tahun itu dihubungi suspek yang mendakwa anaknya telah ditangkap atas kesalahan mengedar dadah.
“Mangsa diminta untuk membayar wang jaminan sebanyak RM80,000 bagi membebaskan anaknya.
“Malah, terdapat seorang lagi individu yang turut menyamar sebagai anak mangsa dan merayu supaya dibebaskan serta memintanya membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan.
“Mangsa yang panik bertindak melakukan transaksi sebanyak RM30,000 dan turut diugut supaya tidak menceritakan hal terbabit kepada sesiapa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa kemudiannya menceritakan kejadian itu kepada ahli keluarganya dan tampil ke balai polis selepas menyedari dirinya ditipu.
“Untuk makluman, anak mangsa yang tinggal bersamanya tidak pernah terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE