SEBERANG PERAI – Seorang lelaki yang tidak membayar sekotak rokok yang diambilnya di sebuah kedai runcit di Taman Bertam Permai, Kepala Batas di sini kelmarin bertindak ala gangster apabila pergi semula ke kedai itu malam tadi untuk mencari pekerja yang mengejarnya.
Bagaimanapun, suspek berusia 37 tahun itu kecut perut biarpun datang sambil membawa sebilah parang apabila disergah sekumpulan pekerja kedai.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, suspek pergi bersendirian dalam keadaan marah dengan menunggang motosikal.
“Sambil memegang sesuatu disyaki parang, dia menjerit ‘hang (kamu) keluar, hangpa (kamu) tak puas hati apa’ sebelum pekerja lain dan rakan-rakannya keluar untuk menghalang suspek.
“Suspek kemudiannya terus beredar dari situ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Noorzainy berkata, hasil maklumat diterima pihaknya, polis menahan lelaki itu di rumahnya di Permatang Tinggi C, Kepala Batas pukul 11.30 malam tadi.
“Polis merampas sebilah parang daripada suspek yang memiliki rekod jenayah lampau itu selain ujian saringan air kencing mendapati dia positif syabu,” katanya.
Noorzainy berkata, siasatan mendapati kejadian berpunca apabila suspek telah mengambil rokok daripada kedai itu kira-kira pukul 1 tengah hari kelmarin tanpa membayarnya sebelum dia dikejar oleh seorang pekerja dengan motosikal.
“Suspek tidak berpuas hati dengan pekerja itu dan dia mahu mencarinya, namun ketika suspek pergi semula, pekerja berkenaan tiada kerana sudah habis shif,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE