KOTA KINABALU – Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu berjaya menyelamatkan seorang lelaki terjatuh laut di perairan Pulau Mantanani semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 pagi itu, lelaki berusia 39 tahun berkenaan dikatakan menaiki perahu untuk memasang bubu di kawasan terbabit sebelum terjatuh ke dalam laut.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Enturan Anak Lageh berkata, pihaknya mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
“Bertindak atas maklumat awal, bot ronda yang sedang melaksanakan operasi Op Benteng/Op Covid-19 dikerah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan perairan Pulau Mantanani.
“Walaupun cuaca tidak menentu ketika itu namun anggota bertugas berjaya tiba di lokasi sejauh 48.8 batu nautika dari pangkalan Markas Operasi PPM Kota Kinabalu sekitar pukul 1.15 tengah hari.
“Bagaimanapun, mangsa yang jatuh itu telah diselamatkan salah seorang pekerja Sutera Mantanani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Enturan berkata, lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Di Pos Pulau Mantanani.
“Mangsa seterusnya dibawa oleh bot tronda Pasukan Polis Marin ke jeti Usukan Kota Belud untuk menerima rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kota Belud,” katanya. – K! ONLINE