Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK
KUANTAN – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 23 Disember untuk keputusan kes pekebun durian Musang King yang menceroboh tanah milik kerajaan negeri.
Hakim Datuk Zainal Azman Ab. Aziz pada 28 Oktober lalu menetapkan hari ini sebagai tarikh keputusan bagi kes melibatkan pekebun-pekebun durian dari Raub tersebut.
Sebelum dibawa ke mahkamah, isu melibatkan pekebun Musang King di Raub menjadi hangat selepas diberikan notis pengosongan kerana menceroboh tanah milik kerajaan negeri.
Ia berikutan pencerobohan tersebut menyebabkan kerajaan negeri kerugian kira-kira RM30 juta dalam tempoh 10 tahun akibat kehilangan hasil cukai tanah dari dusun-dusun haram tersebut termasuk di kawasan hutan simpan.
Antara kawasan pencerobohan terlibat ialah Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras yang akhirnya membawa kepada pemohonan semakan kes tersebut di mahkamah.
Kumpulan pertama pekebun tersebut memfailkan permohonan semakan kes pada 28 Ogos lalu sebelum mahkamah menetapkan 28 Oktober untuk pendengaran semula dan hari ini sebagai penetapan keputusan.
Bagaimanapun, keputusan yang dijadualkan hari ini ditangguhkan bagi membolehkan peguam mewakili pekebun-pekebun, Siew Choon Jern melengkapkan pengurusan kes.
Choon Jern ketika sidang akhbar sejurus penetapan tersebut berkata, penangguhan adalah untuk membolehkan pihaknya menguruskan kes kedua melibatkan 94 pekebun durian dari daerah sama.
“Kes pertama melibatkan 111 pekebun dan keputusan bagi kes itu telah ditetapkan pada tarikh hari ini. Bagaimanapun, kami memfailkan kes kedua pada sebulan lalu melibatkan 94 lagi pekebun durian.
“Minggu lalu, kami hubungi Jabatan Peguam Negara dan kedua-dua pihak telah bersetuju keputusan kes pertama akan mengikat keputusan kes kedua,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya pada minggu lalu juga telah menulis surat kepada mahkamah dan memaklumkan mengenai persetujuan antara kedua-dua pihak tersebut.
“Mungkin (maksud) surat kami kurang jelas. Kedua-dua pihak (hari ini) telah membuat klarifikasi di hadapan hakim untuk menyatakan maksud surat tersebut.
“Lalu, hakim tukar tarikh hari ini daripada keputusan kepada pengurusan kes. Jadi, mahkamah menetapkan 23 Disember sebagai tarikh keputusan bagi kedua-dua kes,” jelasnya. – K! ONLINE