fbpx

Kemelut politik Perak dipantau SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Fauzi (dua dari kanan) hadir pada Majlis Sambutan HARA 2020 peringkat negeri Perak dan Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi MPM 2021-2025.

LUMUT – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak memantau kemelut politik di negeri ini ketika ini bagi mengesan dan mengenal pasti jika terdapat perkara berunsur rasuah.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad, bagaimanapun berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan atau maklumat berkaitan perkara tersebut.

“Kita memerhatikan apa yang akan berlaku. Kita memantau dan melihat jika ada aduan kita akan siasat seperti biasa,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2020 Peringkat negeri Perak dan pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Majlis Perbandaran Manjung (MPM) 2021-2025 di Seri Manjung hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh.

Jumaat lalu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meletak jawatan sebagai Menteri Besar selepas gagal meraih sokongan majoriti dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sehingga kini, siapa yang bakal menyandang jawatan itu menjasi teka teki berikutan tiada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memiliki sokongan majoriti.

Mohd. Fauzi meminta mana-mana pihak, ADUN atau individu yang ditawarkan sebarang bentuk suapan atau ganjaran berhubung kemelut politik itu agar melaporkan perkara itu secara rasmi kepada pihaknya.

Tegasnya, ia bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

“Kita tidak akan berkompromi (dan) saya harap mesej ini sampai kepada mana-mana individu yang diberikan tawaran supaya datang ke pejabat saya, anytime (bila-bila masa).

“Pejabat saya (SPRM) dibuka 24 jam dan ada pegawai yang bertugas menunggu untuk terima laporan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Fauzi berkata sejak 1 Januari tahun ini sehingga semalam, SPRM Perak telah menahan kira-kira 100 individu dengan hampir 50 peratus daripadanya adalah penjawat awam membabitkan pelbagai kesalahan.

“Kebanyakan kesalahan penjawat awam berhubung isu tata kelakuan, penerimaan kontrak, tuntutan rasmi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berharap mulai tahun depan lebih banyak tangkapan dilakukan terhadap pemberi rasuah dan bukannya penerima rasuah semata-mata.

Justeru, katanya, SPRM akan melakukan lebih banyak pendedahan dan maklumat khususnya di kalangan penjawat awam agar pemberi rasuah itu dapat dikesan seterusnya ditangkap. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI