fbpx

Kawalan ketat elak sempadan dibolosi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KEGIATAN penyeludupan di sem­padan Malaysia-Thailand bu­kanlah perkara baharu, malah ia telah lama berlaku walaupun tindakan telah diambil oleh pi­hak berkuasa.

Di sempadan Perlis dan Kedah, penyeludupan daun ketum, dadah dan pendatang asing tanpa izin (PATI) antara kes yang pa­ling banyak dilaporkan.

Bagaimanapun, penutupan sempadan negara selain kawalan ketat pasukan keselamatan menerusi Op Benteng sejak Mei lalu menyebabkan kalangan penyelu­dup seperti ‘hilang arah’.

Susulan situasi itu, kumpulan berkenaan dilihat semakin ter­desak sehingga berani menggunakan senjata api untuk mengancam anggota keselamatan.

Impak tindak balas itu, seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan 13 penyeludup ketum dan ubat batuk berhampiran pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, Perlis pada 24 November lalu.

Dalam kejadian itu, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, daripada Batalion 3 PGA Bidor meninggal dunia di tempat kejadian, ma­nakala Sarjan Norihan Tari, 39, parah.

Selain itu, terdapat tiga lagi kejadian tembakan di kawasan penugasan PGA dalam tempoh dua minggu pada bulan lalu.

Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, polis mempertingkatkan kawalan di sepanjang sempadan negara dari Bukit Batu Putih, Kuala Perlis hingga Bukit Kayu Hitam, Kedah susulan kejadian tembakan.

Kata beliau, kawalan dan rondaan dilakukan secara bersepadu oleh 314 anggota Batalion 3 PGA dengan tambahan lebih 200 anggota daripada Unit Udara, Unit Kenderaan Perisai, Unit Ber­kuda dan Unit 69 Komando.

Sementara itu, Panglima 2 Di­vi­­syen, Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus mempertingkatkan kawalan di sepanjang 24 kilometer sempadan Malaysia-Thailand di Kedah terutama di lorong-lorong tikus yang menjadi laluan kegiatan penyeludupan.

Katanya, ATM juga mengenal pasti semua kawasan panas di bawah Op Pagar II iaitu dari Bukit Kayu Hitam hingga daerah Padang Terap.

“Kita bertindak secara agresif dalam memastikan tidak ada satu pun kawasan dalam Op Pagar II ini dibolosi penyeludup rentas sempadan,” katanya.

Bagi sempadan laut pula, Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, anggota Maritim Malaysia (APMM) sentiasa bersedia termasuk menghadapi kemungkinan kegiatan penyeludupan di darat beralih ke perairan negara terutama di Kuala Perlis dan Langkawi.

Dalam pada itu, Profesor Ke­selamatan Negara di Pusat Pe­ngajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Kamarulnizam Abdullah berkata, pasukan keselamatan perlu te­rus memantap dan memper­tingkatkan kawalan dari semasa ke semasa dan bukan dilakukan secara ‘bermusim’ sahaja.

“Apabila kita ingin memper­kuatkan operasi dan sistem pe­ngawasan di sempadan, ia perlu dilakukan secara konsisten. Jika tidak, masalah penyeludupan akan terus berlaku dan tidak ber­kesudahan,” katanya.

Kata beliau, sistem keselamatan di sempadan juga boleh di­tambah baik dengan penggunaan teknologi seperti dron.

“Jumlah dron sedia ada boleh ditambah dan ia perlulah dikendalikan oleh anggota yang mempunyai kepakaran,” katanya yang turut menekankan aspek tanggungjawab dan integriti dalam kalangan anggota keselamatan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI