PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan memaklumkan sebanyak 85,901 perniagaan baharu didaftarkan menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sejak Januari hingga September lalu.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, jumlah pendaftaran perniagaan itu meningkat berbanding hanya 76,443 perniagaan didaftarkan sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, bagi memastikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tersebut mendapat sokongan dan berkembang, kerajaan menerusi pelbagai agensi akan sedia membantu.
“Agensi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun), Bank Simpanan Nasional (BSN), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), SME Bank, Agrobank, SME CORP, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan sedia membantu menyediakan geran perniagaan.
“Kerajaan berharap semua sokongan yang diberikan ini akan membolehkan mereka berdaya saing dalam jangka masa sederhana dan panjang,” katanya dalam kenyataan akhbar laporan Laksana ke-32, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, setakat November lalu, pakej rangsangan kerajaan bersifat langsung, pinjaman dan geran telah memanfaatkan lebih 1.4 juta PKS dan PKS mikro di negara ini dengan bantuan keseluruhan berjumlah RM24 bilion.
Menurutnya, bantuan yang disediakan itu termasuk Dana Pinjaman Mudah PKS di bawah kendalian BNM berjumlah RM11.3 bilion yang dimanfaatkan kira-kira 23,700 PKS.
“Selain itu, Program Subsidi Upah berjumlah RM9.89 bilion pula membantu hampir 300,000 PKS dan PKS mikro dan 1.85 juta pekerja.
“Geran Khas Prihatin 1.0 dan 2.0 bernilai RM2.55 bilion pula memberi manfaat kepada 850,000 PKS mikro setakat ini,” katanya.
Katanya, inisiatif e-dagang Penjana menerusi MDEC termasuk Shop Malaysia Online pula membantu lebih 21,000 usahawan PKS dan PKS mikro yang mana ia menjana jualan lebih RM1.2 bilion menerusi suntikan sebanyak RM140 juta.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, beliau secara peribadi berpeluang bertemu dan melihat sendiri bagaimana rakyat Malaysia meneroka bidang keusahawanan selepas berdepan cabaran akibat Covid-19.
“Saya berpeluang bertemu graduan bidang kejuruteraan, bekas pekerja penerbangan dan usahawan makanan dan minuman yang bertukar angin termasuk meneroka bidang keusahawanan,” katanya.
Katanya, usaha cekal mereka untuk meneroka bidang baharu harus dipuji.-K! ONLINE