fbpx

K2

Jersi jenama tempatan ke Asia Tenggara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JERSI dikeluarkan oleh Kaki Jersi mempunyai kualiti yang tidak kurang hebatnya dengan jenama-jenama antarabangsa.- Foto FAUZI BAHARUDIN

SEBAGAI peminat tegar pakaian sukan, pemuda berusia 34 tahun itu sanggup berhabis ratusan ringgit setiap kali awal musim liga bola sepak tempatan bagi mendapatkan jersi pasukan kegemarannya.

Mohd. Izwan Mohd. Sani menganggap dengan membeli jersi bukan sahaja melambangkan kecintaan dan kesetiaan, malah dapat memberi sokongan dengan membantu menjana ‘kantung’ sesebuah pasukan.

Selain jersi pasukan kegemaran, pemuda berasal dari Putrajaya itu turut membeli dan mengumpul jersi kelab-kelab amatur yang dikeluarkan jenama pakaian tempatan.

Salah satu jenama tempatan yang berjaya menambat hati Mohd. Izwan ialah Kaki Jersi Enterprise (Kaki Jersi) yang mengeluarkan jersi buat beberapa buah pasukan amatur dalam liga tempatan termasuk Liga M3.

Mohd. Izwan berpendapat jersi keluaran Kaki Jersi yang digunakan pasukan seperti Real Cukai FC dan Kuala Lumpur Rovers memiliki reka bentuk menawan selain potongan bersesuaian saiz pemakai di negara ini.

“Sebagai seorang pengumpul jersi, saya mempunyai banyak koleksi jersi pasukan tempatan termasuk pasukan-pasukan terkemuka dalam liga-liga utama.

“Pendapat peribadi saya, rekaan jersi pasukan-pasukan terkemuka yang menggunakan jersi jenama antarabangsa boleh dianggap biasa kerana kurang elemen kejutan berbanding jersi-jersi dikeluarkan Kaki Jersi,” katanya kepada K2.

Kaki Jersi merupakan sebuah jenama tempatan popular dalam pasaran pakaian tempatan dan kini semakin menembusi Asia Tenggara.

Mac lalu, jenama itu melakar sejarah tersendiri apabila dilaporkan menjalin kerjasama dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi Liga Futsal Malaysia MPFL 2020 namun liga itu tertangguh berikutan pandemik Covid-19 yang melanda.

Pasukan amatur

Pencapaian jenama tempatan itu juga patut dibanggakan rakyat Malaysia apabila turut telah mendapat kepercayaan kelab bola sepak dari Indonesia dan Kemboja.

PASUKAN dalam liga utama Kemboja, Soltilo Angkor FC bergaya dengan jersi keluaran Kaki Jersi.

Jenama yang didaftarkan secara rasmi pada tahun 2014 itu diasaskan oleh tiga anak muda berjiwa besar iaitu Nik Mohd. Iqbal Nik Ibrahim, Mohammad Harfat Rusman dan Nor Akmar Ahmad.

Selaku pengumpul jersi, Mohd. Izwan berpendapat, Kaki Jersi boleh melangkah jauh dan mampu bersaing dengan jenama sukan besar yang lain seperti Adidas, Nike, Puma dan lain-lain.

“Sudah tiba masanya pasukan-pasukan besar dalam liga bola sepak tempatan mula memberi kepercayaan kepada jenama tempatan yang tidak kurang hebatnya.

“Saya dapati jersi dikeluarkan Kaki Jersi bukan sahaja berkualiti, malah harganya jauh lebih murah berbanding jenama terkemuka. Jadi, semua golongan mampu memilikinya,” katanya.

Kaki Jersi juga sering menjadi pilihan pasukan-pasukan bola sepak amatur tempatan yang ingin memiliki jersi sendiri mengikut reka bentuk, warna dan potongan dikehendaki.

Ketua Pegawai Operasi, Kaki Jersi, Nor Akmar berkata, bisnes itu ditubuhkan atas dasar rasa cinta yang mendalam kepada arena bola sepak.

SEORANG pekerja sedang melakukan proses heat press dalam pengeluaran jersi.

Katanya, sebagai peminat bola sepak, dia dan rakan-rakan sentiasa ingin melibatkan diri dengan sukan berkenaan sehingga tertubuhnya Kaki Jersi.

“Berbekalkan modal sekitar RM100,000, kami bertiga tekad untuk menubuhkan perniagaan ini.

“Operasi awal kami bermula di sebuah rumah terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur sebelum memiliki bangunan lebih selesa di Batu Caves, Selangor,” ujarnya.

Menariknya, bangunan dua tingkat itu menempatkan seramai 30 pekerja melibatkan semua operasi Kaki Jersi daripada penghasilan jersi sehinggalah ke pemasaran.

Pada peringkat awal, sambutan diterima oleh Kaki Jersi agak dingin disebabkan stigma masyarakat yang terlalu mengagungkan jenama besar dari luar negara.

Menurut Nor Akmar, cabaran terbesar yang dihadapi pada permulaan perniagaan adalah untuk mendidik masyarakat supaya percaya dengan kualiti jersi ditawarkan jenama tempatan.

“Sejak dari dulu lagi, pelanggan kami terdiri daripada pasukan-pasukan bola sepak amatur yang ingin membuat jersi bagi menyertai pertandingan disertai.

“Malangnya, kebanyakan pelanggan kami ini enggan menggunakan logo Kaki Jersi. Sebaliknya, mereka ingin meletakkan jenama luar negara yang lebih popular. Itu menunjukkan mereka tidak yakin dengan jenama kami,” katanya.

Bagaimanapun, situasi itu sama sekali tidak mematahkan semangat Nor Akmar dan rakan-rakan untuk menghasilkan jersi terbaik mengikut selera masyarakat tempatan.

SUASANA sewaktu para pekerja kesibukan melakukan jahitan jersi-jersi bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Lama-kelamaan rekaan jersi keluaran Kaki Jersi mula mendapat maklum balas positif daripada masyarakat terutamanya menerusi komen-komen dalam media sosial.

“Alhamdulillah, saya lihat penggemar jersi mula tertarik dengan produk kami sejak dua tahun kebelakangan ini,” katanya.

Disebabkan faktor kualiti dan reka bentuk, beberapa buah pasukan dalam liga amatur dan Liga M3 telah memilih untuk menggunakan set pakaian seperti baju, seluar dan stoking keluaran Kaki Jersi.

Antara pasukan tempatan telah menggunakan jenama Kaki Jersi adalah Klasiko FC, Ohana FC, Kuala Lumpur City, Real Cukai FC, Raja Permin FC, Terengganu City FC, Batu Dua FC dan Kuala Lumpur Rovers.

“Selain pasukan tempatan, Kaki Jersi juga telah menaja beberapa buat kelab bola sepak di luar negara seperti Persijap Jepara di Indonesia pada musim 2018.

“Kini, kami merupakan penaja rasmi kepada sebuah pasukan dalam liga utama Kemboja iaitu Soltilo Angkor FC dan serta pasukan pembangunan Siem Reap United,” terangnya.

Pada masa sama, Kaki Jersi sedang melakukan perbincangan serius bersama Persekutuan Bola Sepak Kemboja bagi menaja pasukan kebangsaan negara berkenaan pada masa depan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Kaki Jersi, Nik Mohd. Iqbal berkata, pihaknya sedang merancang untuk membuka cawangan di beberapa buah negeri seperti Pulau Pinang, Terengganu dan Melaka masa akan datang.

Bercerita lanjut, dia memaklumkan, Kaki Jersi sedang membina sebuah padang sintetik di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang yang bakal dilengkapi sebuah kedai menjual pakaian.

“Kami lebih menggalakkan para pelanggan supaya menggunakan platform online bagi mendapatkan rangkaian produk Kaki Jersi terutamanya ketika musim Covid-19 ini.

“Pelanggan juga boleh datang terus ke outlet kami di Batu Caves atau Universiti Malaya. Namun, mereka perlu memaklumkan kepada pihak pengurusan terlebih dahulu bagi mengelak kesesakan outlet,” katanya.

Tambahnya, barangan keluaran Kaki Jersi mendapat permintaan sangat menggalakkan daripada pelajar universiti dan sekolah, akademi bola sepak serta pasukan amatur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI