fbpx

Jangan jadi mangsa keldai akaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sepanjang Januari hingga Oktober lalu, sebanyak 74 kertas siasatan melibatkan keldai akaun telah berjaya dituduh di mahkamah oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, jika disabitkan kesalahan, mereka yang terlibat boleh dipenjara selama tempoh lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

“Keldai akaun adalah mangsa kepada modus operandi ‘scammer’ online mahupun fizikal yang membenarkan nama dan butiran peribadi mereka digunakan dengan mendapat imbuhan atau wang dan perbuatan tersebut adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Sindiket akan memperdaya mangsa menyebabkan mereka sanggup ‘meminjamkan’ kad pengeluaran wang automatik berserta nombor PIN dengan bayaran antara RM200 hingga RM2,000 bagi setiap transaksi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Nik Ezanee, pada 18 Oktober lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob dipetik berkata, lebih 80,000 akaun keldai milik individu yang membenarkan sindiket menggunakannya bagi aktiviti penipuan online telah dikesan sejak 1 Januari hingga 9 Oktober lalu.

“Modus operandi sindiket ini untuk mendapatkan akaun berkenaan adalah melalui tawaran iklan di platform media sosial atau ditawarkan kepada kenalan terdekat dengan jumlah bayaran tertentu.

“Alasan yang sering digunakan adalah untuk tujuan perniagaan, ahli keluarga tiada akaun bank dan sebagainya malah golongan yang dikesan sering menjadi sasaran adalah penagih dadah, suri rumah, pelajar serta pencari pekerjaan,” jelas beliau.

Difahamkan, pihak polis bagaimanapun dapat membezakan golongan ini sama ada mangsa keldai akaun atau bersubahan dengan sindiket dengan melihat laporan polis yang pernah dibuat oleh mereka.

Bagi mangsa keldai akaun, kebiasaannya melibatkan kejadian kehilangan kad bank dan pernah membuat laporan polis untuk melindungi diri daripada perkara berbangkit di kemudian hari manakala bagi mereka yang bersubahat dikesan mempunyai hubungan dengan sindiket.

Tambah beliau, polis Petaling Jaya menasihatkan orang ramai supaya segera membuat laporan polis jika kehilangan apa sahaja dokumen diri yang penting bagi mengelakkan daripada mana-mana sindiket menggunakan maklumat tersebut untuk aktiviti haram sekaligus melindungi diri daripada menjadi mangsa keldai akaun.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI