SEBERANG PERAI – Isteri pemain Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi tadi untuk mendapatkan rawatan lanjut di hospital itu.
Bapanya, Ahmad Ibrahim, 56, berkata Nur Amalina Nurain, 25, dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini ke HKL kira-kira pukul 6.30 pagi tadi.
“Keadaan Nur Amalina semakin baik serta stabil dan tidak ada apa-apa yang serius dengan kesihatannya, cuma dia dipindahkan bagi membolehkan pakar-pakar di HKL memantau keadaannya.
“Saya dan keluarga serta Muhammad Syafiq juga akan turut ke HKL hari ini dan akan bersama Nur Amalina sehingga dia sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Isnin lalu, Nur Amalina selamat menjalani pembedahan pada perut di HSJ selepas dipindahkan dari Hospital Sungai Bakap (HSB), Nibong Tebal.
Kelmarin, anak perempuan Muhammad Syafiq iaitu Aaira Nur Saffiya, 2, turut dibenarkan keluar dari HSJ selepas sembuh daripada kecederaan ringan yang dialami. – K! ONLINE