PETALING JAYA – Inix Technologies Holding Sdn. Bhd. (Inix) menandatangani memorandum persetujuan (MoA) untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan dalam syarikat pengedar sarung tangan, World Gloves International Group Sdn. Bhd. (WGI).
Langkah tersebut dijangka mengukuhkan kedudukan syarikat pegangan pelaburan itu dalam industri sarung tangan, susulan MoA yang ditandatangani Inix minggu lalu bagi pengambilalihan 51 peratus kepentingan dalam syarikat pengeluar sarung tangan getah, L&S Gloves Sdn. Bhd. (L&S Gloves).
WGI mengedar sekurang-kurangnya sejuta kotak sarung tangan getah dan nitril sebulan dengan perolehan sekitar RM10 juta, untuk pasaran Amerika Syarikat, Eropah dan Asia.
Pengarah Eksekutif Inix, Siva Kumar Kalugasalam berkata, pihaknya percaya pengambilalihan WGI, yang juga hadir bersama pensijilan antarabangsa akan menambah baik perniagaan sarung tangannya dan membawa sumbangan positif kepada kumpulan.
“Sebagai sebuah syarikat pelaburan, kami sentiasa mencari peluang yang baik dan kami hampir mencapai sasaran yang telah ditetapkan tahun ini.
“Sinergi yang bakal terhasil antara WGI dan L&S Gloves berupaya membekalkan lebih banyak sarung tangan ke pasaran.
“Kami tidak berniat untuk bersaing dengan pemain utama industri sedia ada kerana mereka memiliki pasaran mereka sendiri, kami juga mempunyai sasaran pelanggan yang tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani MoA tersebut di ibu pejabat WGI di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Inix, Tan Sri Syed Mohd. Yusof Tun Syed Nasir dan Ketua Pegawai Operasi WGI, Goh Poh Seng.
Jumaat lalu, Inix menandatangani MoA pengambilalihan L&S Glove, yang memiliki dua barisan pengeluaran sarung tangan getah di kilangnya yang terletak di Beranang, Selangor.
Inix merancang untuk menambah kapasiti kilang berkenaan dengan pelaburan kira-kira RM50 juta.