PUTRAJAYA – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menegaskan, kebenaran bagi mengimport daging ke negara ini hanya diberikan kepada syarikat yang berdaftar dengan jabatan tersebut.
DVS dalam satu kenyataan berkata, setiap konsainan import juga perlu dibuktikan dengan dokumen perakuan sah oleh pihak berkuasa negara pengeksport.
Menurut DVS, ia membabitkan Sijil Kesihatan Veterinar oleh pihak berkuasa veterinar, Sijil Halal oleh badan Islam yang diperakui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta mendapat kelulusan permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
“Setiap konsainan daging yang diimport setelah melepasi semua prosedur ditetapkan akan dijalankan pemeriksaan fizikal dan verifikasi dokumen oleh Maqis di pintu masuk sebelum diberikan pelepasan memasuki negara,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu, DVS memandang serius isu penyeludupan daging oleh pihak tidak bertanggungjawab seperti yang dibongkar oleh Maqis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jakim baru-baru ini.
“Aktiviti penyeludupan dan pembungkusan semula daging yang menyalahi undang-undang pastinya menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif kepada daging yang diimport secara sah melalui sistem kelulusan import ditetapkan kerajaan menerusi DVS dan Jakim.
“Pengimportan daging secara sah perlu diperoleh daripada sumber negara dan rumah sembelih yang telah diperiksa dan diluluskan oleh DVS dan Jakim bersama Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rumah sembelih kerbau di India sebagai jaminan keselamatan makanan dan status halal,” katanya.
Katanya lagi, sehingga kini, kerajaan meluluskan sebanyak 28 rumah sembelih lembu dari Australia, New Zealand, Argentina, Brazil, Pakistan dan Afrika Selatan serta 11 rumah sembelih kerbau dari India dan Pakistan.
“Kesemua rumah sembelih tersebut telah dijalankan pemeriksaan audit oleh DVS dan Jakim serta KKM untuk rumah sembelih kerbau di India sebelum kelulusan diberikan,” katanya.
Dalam pada itu, senarai penuh rumah sembelih mengikut negara sumber yang telah diluluskan boleh dilayari dalam laman sesawang www.dvs.gov.my. – K! ONLINE