MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola dijangka merombak kesebelasan utama menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Olympique Marseille di Stadium Etihad awal pagi esok.
Pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Fulham Sabtu lalu, beliau langsung tidak melakukan pertukaran pemain kerana mahu memberi rehat kepada pemain-pemain simpanan.
Justeru, Guardiola boleh menurunkan pemain-pemain tersebut pada pertemuan menentang Marseille awal pagi esok dan merehatkan pemain utama.
Meskipun tidak akan menurunkan sebahagian besar pemain utama, namun bekas pengendali Barcelona itu menegaskan beliau tetap menghormati pasukan dari Perancis tersebut.
“Saya tidak buat pertukaran sebelum ini kerana mahu rehatkan pemain-pemain tersebut ketika bertemu Marseille. Setiap pemain akan dapat peluang beraksi.
“Kami memiliki rekod yang baik dalam Liga Juara-Juara, namun itu tidak bermaksud kami pandang rendah keupayaan Marseille. Saya tetap akan turunkan kesebelasan terbaik pada perlawanan itu,” ujar Guardiola.
Skuad The Citizens bagaimanapun tidak perlu bekerja keras pada perlawanan itu memandangkan mereka sudah mengesahkan tempat ke pusingan kedua lebih awal.
Bagaimanapun, sekiranya mencatat kemenangan, City mampu mengaut keuntungan £2.45 juta (RM13.3 juta) dan £800,000 (RM4.4 juta) jika perlawanan berakhir dengan keputusan seri. – AGENSI