PETALING JAYA – Pelakon Faye Kusairi berdepan saat cemas apabila tiba-tiba mendapat serangan Bell Palsy iaitu kelumpuhan otot muka, Jumaat lalu.
Faye atau nama sebenarnya, Dayangku Faratiwan Adnil Awang Kusairi itu bagaimanapun bersyukur setelah dibenarkan keluar dari hospital pada Ahad.
Menurut Faye, semasa kejadian, dia sedang menggosok gigi di rumahnya dan tiba-tiba berasa otot muka sebelah kanannya kejang.
“Alhamdulillah saya telah dibenarkan pulang. Saya telah dimasukkan ke hospital pada minggu lalu selepas disahkan mengalami serangan Bell Palsy ketika sedang menggosok gigi.
“Saya masih belum sembuh sepenuhnya, namun masih dalam progress untuk pulih. Separuh muka di bahagian kanan saya lumpuh sejak Jumaat lalu dan telah menjalani rawatan dengan pakar neurologi.
“Sekarang saya dapat menggerakkan sedikit otot muka saya. Syukur alhamdulillah,” katanya.
Bell Palsy merupakan sejenis kelumpuhan pada sebahagian muka kerana saraf atau otot muka berhenti berfungsi. Antara simpton lazim akibat penyakit berkenaan adalah muka senget sebelah terutama mata dan mulut tidak simetri.
Sebelum ini, beberapa selebriti ternama pernah dikaitkan dengan penyakit ini, antaranya, Slyvester Stallone, Pierce Brosnan, Angelina Jolie, George Clooney, Rano Karno, Nita Thalia dan Sam Bailey (Pemenang X Factor 2013).
Penyakit berkenaan boleh menyerang sesiapa termasuk kanak-kanak tetapi kebiasaannya mereka berusia dalam lingkungan 15 hingga 60 tahun.
Faye yang kini sedang hamil 38 minggu turut mengucapkan terima kasih kepada kenalan rapat dan keluarganya yang sentiasa mengambil berat tentang keadaan dirinya sepanjang berada di dalam wad hospital.
“Memandangkan saya kini hamil 38 minggu, saya meneruskan rawatan dan berehat di rumah.
“Mohon doakan kesihatan saya diteruskan dengan baik dan dipermudahkan serta cepat sembuh,” katanya menerusi status dalam Instagramnya. – K! ONLINE