JOHOR BAHRU – Dua anggota polis cedera selepas satu kereta peronda polis (MPV) dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta dari arah belakang di Jalan Mutiara Emas 7, Mount Austin di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd. Zain berkata, dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, kedua-dua anggota berkenaan sedang bertugas.
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian pemandu kereta Perodua Myvi yang gagal membrek dan terlanggar bahagian belakang MPV berkenaan.
“Akibat daripada pelanggaran tersebut, MPV telah terbabas melanggar tiang di tengah pembahagi jalan. Kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Padzli berkata, pemandu Perodua Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat.-K! ONLINE