fbpx

Dilema KWSP, ahli dan kepayahan hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
JAMDI NASIR,TIMBALAN PENGARANG KOSMO!/KOSMO! AHAD.

SEPERTI kita semua sedia maklum, majoriti rakyat berasa terkesan dengan penularan Covid-19 yang mula ditemui pada 7 Januari tahun ini. Wabak itu sehingga kini terus merebak, menjangkiti serta meragut nyawa manusia tanpa belas kasihan ke seluruh pelusuk dunia.

Sehingga komentar ini ditulis, dilaporkan lebih 67 juta manusia telah dijangkiti, manakala lebih 1.5 juta telah terkorban akibat virus tersebut.
Meskipun dunia kini berasa lega selepas dilaporkan vaksin telah berjaya dicipta, dikeluarkan dan dalam proses agihan di beberapa negara, namun wabak itu belum menunjukkan tanda-tanda semakin terkawal.

Suatu yang perlu menjadi peringatan kita semua bahawa dengan sedikit sahaja kesilapan atau kecuaian, virus Covid-19 yang menjangkiti seseorang dengan mudah merebak kepada berpuluh atau beratus orang lain.

Dalam keadaan kita perlu bersiap sedia setiap masa bagi mengelak daripada menjadi mangsa rantaian wabak tersebut, ramai yang terhimpit oleh kerana wabak turut menyekat aktiviti ekonomi sekali gus melumpuhkan operasi syarikat-syarikat perniagaan, perkilangan, perusahaan, pengangkutan, pelancongan dan sebagainya.

Sesiapa yang berada dalam rantaian ekonomi tersebut pasti akan menerima tempias sama ada kehilangan kerja, punca pendapatan atau dikurangkan kadar gaji berbanding dahulu.

Oleh kerana wabak yang sukar dibendung dalam jangka masa singkat, maka berlakulah apa yang dikatakan kesan berpanjangan menyebabkan sebahagian rakyat tidak mampu lagi bertahan apabila wang simpanan telah mula susut dan ada yang telah pun kehabisan.

Jika kita di tempat mereka, dalam keadaan kekurangan atau tiada pendapatan sedangkan ada bebanan hutang mesti dibayar, ada tanggungan keluarga yang perlu disediakan makan dan tempat tinggal tetapi tiada lagi wang simpanan untuk menampan segala liabiliti tersebut. Apa yang perlu dilakukan lagi?

Maka, timbullah polemik mengapa tidak digunakan wang caruman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Iaitu satu badan yang ditubuhkan pada tahun 1951 bagi membantu pekerja Malaysia menabung untuk hari-hari persaraan mereka.

Kelihatannya nampak mudah, mengapa sukar sangat untuk membenarkan pencarum yang kini dalam keadaan kesusahan, terhimpit dan tertekan menggunakan duit mereka sendiri. Bukan duit orang lain atau duit kerajaan pun.

Penulis dalam isu ini percaya, apa yang dilontarkan tidak semudah untuk dilaksanakan oleh pihak KWSP. Mereka ternyata mempunyai komitmen tersendiri dalam mengendalikan wang caruman ahli.

Mereka ini mempunyai visi jelas iaitu membantu ahli mencapai masa depan dan hari persaraan yang lebih baik. Mereka juga telah berikrar dalam misi melindungi simpanan ahli serta menyediakan perkhidmatan terbaik.

Oleh itu, saya percaya dalam keadaan kesukaran yang dialami oleh para pencarum dek wabak koronavirus yang terus mengganas dan melumpuhkan ekonomi, KWSP juga berhadapan kesukaran dan dilema untuk memenuhi pengeluaran tanpa syarat RM10,000 seperti yang didesak.

Para pencarum kini seolah-olah tidak mahu lagi mendengar apa jua alasan. KWSP pula seperti tersepit di tengah-tengah. Semoga ada jalan penyelesaian kelak dan ada sinar bagi semua yang terkesan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI